Thursday, November 17, 2011

Janji Akhir Zaman dan Kaitannya dengan Perjuangan Umat Islam



Janji Akhir Zaman dan Kaitannya dengan Perjuangan Umat Islam



Sinopsis Ringkas


Kiamat atau kehancuran dunia merupakan suatu kejadian yang pasti akan berlaku dan fasa kehidupan manusia yang mendekati hari kiamat itu disebut sebagai akhir zaman. Tidak kira istilah apa pun yang digunakan baik Apocalypse, Armageddon, dan Ragnarok atau akhirat namun kehancuran bumi adalah suatu perkara global yang diyakini oleh semua pengikut agama yang diturunkan oleh Allah swt daripada langit yang disebut sebagai agama samawi.



Perkataan Kiamat bermaksud kebangkitan selepas kehancuran dunia kerana disebut dalam kitab-kitab samawi (agama langit) bahawa apabila dunia ini dihancurkan maka manusia akan dihidupkan semula untuk diadili dan hari tersebut dipanggil sebagai hari kiamat atau hari akhirat yang bermaksud hari kebangkitan selepas mati. Al-Quran menyebutkan perihal kiamat dengan sangat banyak sekali sehinggakan beberapa surah di dalam Al-Quran itu sendiri diberi nama dengan nama-nama kiamat seperti Surah Al-Waqiah, Al-Qiyamah, Al-Qari’ah dan lain-lain.



Dalam surah Al-Waqiah, Allah swt berfirman yang bermaksud : “Apabila terjadi hari kiamat, tidak seorangpun dapat berdusta tentang kejadiannya. (Kejadian itu) merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan yang lain), apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya, dan gunung-gunung dihancur luluhkan seluluh-luluhnya, maka jadilah ia debu yang berterbangan.” (Al-Waqiah : 1-6)



Sangat banyak ayat-ayat Al-Quran yang mengajak kita semua untuk beriman dengan hari akhirat dan menceritakan perihal yang akan berlaku di sana. Bahkan perkara berkenaan kepercayaan kepada hari akhirat ini turut sama dimuatkan oleh baginda rasulullah salallahualaihiwassalam sendiri di dalam hadis-hadis dan ucapan baginda kepada para sahabat radiallahuanhum.



Al-Imam Muhammad bin Ismail Al-Bukhari rahimahullah meletakkan hadis-hadis tentang hari kiamat dalam Jami As-Sahih beliau pada Kitab Al-Iman, Kitab Fitnah dan Kitab At-tauhid. Manakala Imam Muslim bin Hajjaj An-Naisaburi pula meletakkan hadis-hadis berkenaan hari kiamat dalam Jami As-Sahih beliau pada kitab Al-Iman, Kitab Sifat Kiamat, Syurga dan neraka, Kitab Fitnah dan Tanda-tanda hari kiamat. Seterusnya Imam Abu Daud Sulaiman bin Al-Asy’as ra , Imam At-Tirmidzi Muhammad bin Isa ra, Imam Ibn Majah Muhammad bin Yazid ra, Imam Nasaie Ahmad bin Syuaib ra dan ramai lagi Imam-imam hadis yang meletakkan hadis-hadis akhir zaman dalam kitab mereka yang merekodkan sabda-sabda baginda rasulullah salallahualaihiwassalam tentang kedatangan kiamat dan janji-janji akhir zaman berkenaan kejadian-kejadian yang akan berlaku dan pasti terjadi.



Beriman dengan kiamat dan hari akhirat adalah suatu kewajipan dan merupakan salah satu daripada rukun Iman yang enam yang wajib dipercayai dan diyakini oleh setiap orang yang beragama Islam. Walaubagaimanapun tarikh dan waktu sebenar kedatangan hari kiamat tidak dapat ditentukan dan menyibukkan diri dalam urusan menentukan tarikh kedatangan hari kiamat adalah dilarang dan ditegah oleh agama.



Firman Allah swt yang bermaksud : “Manusia bertanya kepadamu tentang hari kebangkitan. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu hanya di sisi Allah." Dan tahukah kamu (hai Muhammad), bahawa hari kiamat itu sudah dekat waktunya.” (Al-Ahzab : 63)



Walaubagaimanapun masih terdapat ulama Islam yang meluangkan waktunya untuk menulis dan meneka-neka persoalan ini dengan membuat andaian dan tekaan bilakah tarikh kedatangan hari kiamat berdasarkan beberapa hal yang dianggap oleh mereka sebagai bukti. Antaranya Imam At-tabari yang beranggapan kiamat akan terjadi selepas 500 tahun bermula dari tarikh kerasulan nabi Muhammad salallahualaihiwassalam.



Manakala Imam As-Suyuthi ra pula berpendapat kiamat akan terjadi selepas seribu tahun dari masa kerasulan nabi Muhammad salallahualaihiwassalam dan ternyata tekaan beliau juga tersalah dan meleset. Sesungguhnya kata Al-Imam Ibnu Taimiyyah ra, perbuatan meneka-neka persoalan ghaib dan meneka tarikh kiamat adalah termasuk perbuatan dusta dan menipu atas nama agama serta berdosa dan wajar ditinggalkan.



Umat Akhir Zaman



Allah swt berfirman yang bermaksud : Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup bagi para nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Al-Ahzab : 40)



Kata Al-Imam Ibn Katsir ra, ayat di atas menjelaskan secara tegas dan pasti bahawa tidak akan ada lagi rasul dan nabi selepas nabi Muhammad salallahualaihiwassalam.



Kedudukan nabi lebih umum daripada rasul kerana setiap yang menerima wahyu itu dinamakan sebagai nabi dan yang wajib menyampaikannya ialah rasul. Maka Allah menyebutkan bahawa tidak akan ada nabi lagi sesudah Muhammad sebagai memutuskan bahawa wahyu akan terhenti dengan kewafatan rasulullah salallahualaihiwassalam dan apabila tiada wahyu (iaitu tiada nabi) masakan boleh lagi ada rasul dan demikianlah yang ditegaskan pula oleh hadis-hadis baginda yang tersangat banyak dan mencapai tahap mutawatir. (Tafsir Al-Quran Al-Azim, Imam Ibn Katsir)



Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra yang berkata bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya kerasulan dan kenabian telah terputus maka tidak akan ada lagi rasul selepas aku dan tidak pula nabi.” (hadis riwayat Ahmad)



Apabila tiada lagi rasul selepas Nabi Muhammad salallahualaihiwasalam maka kita juga mengetahui bahawa umat baginda ialah umat yang terakhir dan akan dibangkitkan sebagai umat akhir zaman di sisi Allah swt.



Maka sebagai umat akhir zaman ianya turut bermaksud segala janji-janji akhir zaman dan dalil-dalil daripada Al-Quran dan hadis yang menceritakan tentang kejadian-kejadian yang akan berlaku seperti fitnah Dajjal, kemunculan Imam Mahdi, kedatangan Nabi Isa as, peperangan besar, kerosakkan oleh Ya’juj dan Mak’juj, Asap hitam di langit, Api besar dari Yaman dan pelbagai lagi kejadian-kejadian yang dinyatakan dalam hadis-hadis sahih pastinya melibatkan kita dan amat berkait rapat dengan umat Islam hari ini.



Oleh yang demikian adalah penting bagi kita untuk menilai dan memahami setiap hadis-hadis serta pertunjuk wahyu dan khabar daripada Allah swt dan rasul-Nya itu dengan berhati-hati dan melihat dengan penuh hikmah akan kaitannya dengan perjuangan umat Islam di seluruh dunia dan menjadikan amaran serta janji-janji akhir zaman sebagai neraca kayu ukur kebenaran dan bahan muhasabah agar kita dapat terselamat daripada fitnah-fitnah yang diberitakan akan terjadi.



Methodologi kajian ini melibatkan beberapa perkara penting seperti kesahihan dalil-dalil dan khabar-khabar berkenaan kejadian akhir zaman, memahami maksud dan isi tersirat daripada hadis-hadis dan khabar tersebut, melihat cara pergantungan ulama salaf dan khalaf terhadap khabar-khabar akhir zaman dan melihat sikap dan kaedah mereka dalam beramal dengan khabar-khabar tersebut.



Seterusnya adalah penting bagi kita untuk melihat perjuangan umat Islam di seluruh dunia secara global dan menilai apakah ada isyarat-isyarat yang jelas daripada dalil-dalil hadis dan khabar akhir zaman terhadap mana-mana perjuangan umat Islam hari ini dan mengkaji apakah kesan-kesan daripada khabar tersebut serta menilai secara adil dan teliti mengenai hukum dan hasil-hasil dapatan daripada penilaian tersebut untuk dijadikan bahan amalan umat Islam dan panduan kepada kita dalam menjalani hidup di zaman fitnah agar terselamat dan diredhai Allah swt.



Janji-janji Akhir Zaman



Disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar radiallahuanhu yang berkata : Rasulullah salallahualaihiwassalam berkhutbah di hadapan manusia lalu baginda memuji Allah dan kemudiannya menyebutkan tentang Dajjal dengan bersabda : “Aku mewasiatkan kepada kamu semua agar berhati-hati terhadapnya kerana tidak ada seorang pun nabi yang diutuskan melainkan mengingatkan umatnya (tentang fitnah Dajjal) tetapi aku akan memberitahu kamu sesuatu yang tidak pernah diberitahu oleh nabi yang sebelumku kepada kaumnya iaitu dia (Dajjal) itu bermata buta sebelah dan sesungguhnya Allah itu tidaklah buta sebelah.” (hadis riwayat Bukhari)



Hadis-hadis tentang masalah Dajjal sangatlah banyak dan ianya terkandung dalam Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Tirmidzi, Ibn Majah dan lain-lain. Bahkan disebut oleh Abi Umamah ra yang meriwayatkan bahawa baginda nabi salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Sejak penciptaan Adam tiadalah fitnah yang lebih besar daripada fitnah Dajjal dan Allah tidak mengutuskan seorang nabi pun melainkan dia berpesan kepada kaumnya tentang bahaya Dajjal dan Aku adalah nabi yang terakhir dan kalian semua adalah umat yang terakhir maka dia (Dajjal) pasti akan muncul di tengah-tengah kalian.” (riwayat Ibn Majah, Khuzaimah dan Hakim dalam Mustadraknya)



Selain Dajjal, kita juga akan melihat tentang konsep Al-Mahdi dalam Aqidah Islam dan membahaskan secara mendalam tentang konsep Al-Mahdi di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kaitannya dengan umat Islam dan keadaan semasa. Kita juga akan melihat tentang janji kedatangan Ya’juj dan Mak’Juj dan kemunculan pelbagai tanda kiamat yang menakutkan dan melihat apakah hal tersebut telah berlaku atau belum dan mencari hikmah dan pelajaran di sebalik janji-janji dan tanda-tanda tersebut.



Perjuangan umat Islam



Setelah kewafatan rasulullah, berlalunya zaman sahabat, beransurnya zaman salaf dan munculnya zaman khilafah sehinggalah akhirnya ia runtuh pada tahun 1924 M maka kita dapat melihat umat Islam telah didatangi dengan pelbagai bentuk ujian dan cabaran yang pelbagai sehingga memaksa mereka untuk sentiasa terus berjuang.



Bermula pada zaman rasulullah salallahualaihiwassalam masih hidup, umat Islam perlu berjuang untuk menegakkan Islam dan menjatuhkan syirik dan jahiliyyah melalui pelbagai usaha dakwah dan jihad peperangan kemudian setelah kewafatan baginda kita menyaksikan kesungguhan Abu Bakar As-Siddiq ra dan para khalifah rasulullah pula dalam memelihara Islam dan menghapuskan nabi palsu, golongan murtad, penyelewengan dan kebathilan.



Seterusnya umat Islam diuji pula dengan zaman fitnah dan perselisihan dalam mendapatkan keadilan dan perjuangan untuk meneruskan kepimpinan sehinggalah bermulanya sejarah baru apabila pemerintahan beraja dan dinasti keturunan muncul dalam sejarah Islam apabila seorang tokoh sahabat bernama Muawiyah bin Abi Sufyan ra menaiki jawatan Khalifah.



Kemudian jangan dilupakan pula perjuangan menuntut hak dan keadilan yang berterusan berlaku dalam sejarah Islam apabila ramai menentang pemerintahan Hajjaj Ibn Yusof As-Saqafi di kalangan ulama Islam. Seterusnya zaman fitnah aqidah apabila golongan bid’ah dan ajaran sesat berkembang dalam umat Islam apabila munculnya fahaman Syiah, Khawarij, Qadariyah, Mukzatilah dan pelbagai lagi.



Apabila Khalifah Al-Makmun berkuasa dari tahun 198-218 Hijrah dan menjadikan fahaman sesat Muktazilah sebagai mazhab rasmi negara maka ramai ulama Islam bangkit dan berjuang melawan kesesatan tersebut dan mereka terpaksa menghadapi tekanan dan ujian yang dahsyat seperti diseksa dan dipenjarakan demi mempertahankan Islam dan membela agama daripada kebathilan.



Kita juga akan melihat perkembangan mazhab-mazhab agama dalam Islam, perselishan agama, perbahasan fiqh dan isu-isu aqidah dan perkembangan aliran-aliran pemikiran dan ilmu dalam sejarah Islam sebagai salah satu bentuk perjuangan.



Tidak sudah disitu sepanjang sejarah Islam pelbagai perkara telah berlaku yang boleh dilihat dan dibaca melalui kitab-kitab sirah Islam seperti Tarikh al-Umam wa al-Muluk atau dikenali dengan Tarikh at-Tabari oleh Imam Ibn Jarir At-tabari, Al-Bidayah wa An-Nihayah oleh Imam Ibn Kathir, Tarikh Khulafah oleh Imam Jalaluddin As-Suyuthi dan lain-lain.



Kita akan membaca bagaimana kejatuhan dinasti Umaiyah yang berakhir dengan kejatuhan Khalifah Marwan pada tahun 750 M kepada dinasti Abasiyyah yang kemudiannya berakhir pada tahun 1258 M apabila Baghdad jatuh ke tangan Monggol. Seterusnya kita akan membaca pula sejarah perjuangan umat Islam dalam zaman peralihan kepada dunia moden, zaman penubuhan khilafah Utsmaniyah, percaturan politik semasa dunia Islam kepada tangan-tangan bukan arab dan seterusnya kepada kejatuhan Khilafah Turki dan kemunculan Negara-negara umat Islam di seluruh dunia yang mewujudkan pemerintahan sendiri dan perjuangan-perjuangan umat Islam yang bersifat mengikut kawasan dan sempadan geografi, mempunyai budaya dan mazhab tertentu.



Melalui media massa dan beberapa sumber yang boleh dipercayai dan bahan-bahan bacaan yang ada maka kita akan cuba menyingkap pula realiti dan status keadaan perjuangan umat Islam pada hari ini di seluruh pelusuk dunia dan gerakan-gerakan yang aktif mewakili umat Islam dan menilai kecenderungan dan arah tuju mereka. Misalnya gerakan Islam di timur tengah seperti Ikhwan Muslimun, gerakan salafiyah di Arab Saudi dan pelbagai negara arab, gerakan jihad dan kumpulan mujahidin di Afghanistan, Iraq dan Yaman serta Hamas dan perjuangan umat Islam di sekitar Palestin.



Turut disentuh segala jenis perjuangan umat Islam seperti usaha tabligh, dakwah kepada non-Muslim, perjuangan menegakkan Khilafah dan seruan Hizbut Tahrir, usaha menegakkan negara Islam melalui demokrasi dan pilihanraya serta penubuhan parti-parti politik Islam di negara-negara umat Islam dan juga dakwah-dakwah kepada jihad dan aktiviti perjuangan bersenjata yang dilabel sebagai militan dan pengganas.

Kita akan cuba mengulas sedikit sebanyak perjuangan mereka dan mencari-cari dalil-dalil daripada khabar janji akhir zaman dan hadis-hadis yang mampu menjadi isyarat kepada perjuangan mereka dan melakukan kritikan dan muhasabah terhadap perjuangan tersebut untuk manfaat umat Islam.


Oleh itu kita juga akan menilai dan melakukan penelitian terhadap perjuangan umat Islam di dalam negara-negra Islam itu sendiri seperti di Malaysia, Indonesia dan di timur tengah yang mempunyai pengaruh besar dalam dunia Islam seperti Arab Saudi, Mesir, Yaman, Palestin, Iran dan Iraq.



Misalnya dalam hadis Auf bin Malik ra yang berkata, "Rasulullah salallahualaihiwassalam telah bersabda yang bermaksud :"Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat." Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis." (hadis sahih bukhari)



Kita juga akan turut membincangkan isu berkaitan negara-negara bukan Islam seperti India, Amerika Syarikat, Israel dan England serta negara-negara Eropah yang berkefahaman Kristian dan yang diramalkan akan menjadi musuh-musuh umat Islam atau sedang memusuhi perjuangan umat Islam.



Diriwayatkan oleh Tsauban bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Dua kumpulan daripada umatku akan dilindungi oleh Allah daripada api neraka iaitu kelompok yang menyerbu India dan kumpulan yang bersama Isa bin Maryam (semasa Isa turun di akhir zaman nanti).” (hadis riwayat Ahmad dan Nasaie)



Termasuk juga dalam perbincangan kita ialah kawasan-kawasan penting yang mempunyai peranan dan pengaruh di dalam khabar-khabar akhir zaman seperti Iran, Syiria, Jordan, India, Palestin, Yaman dan lain-lain.



Bahkan di dalam beberapa hadis rasulullah diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud : “Akan keluar daripada Aden Abyan (kawasan daripada Aden) seramai 12 000 orang yang akan menolong Allah dan rasul-Nya. Mereka itu adalah sebaik-baik orang di antaraku dan mereka.” (hadis riwayat Ahmad, Tibrani dalam Mu’jam Al-kabir)



Kemudian kita akan cuba mengungkitkan ramalan-ramalan nabi salallahualaihiwassalam dan khabar janji-janji akhir zaman dan melihat pula perkembangan zaman hari ini untuk mengetahui apakah sudah terjadi semua yang diramalkan oleh nabi atau masih berbaki dan melihat potensi-potensi ramalan itu akan terjadi dan melakukan persediaan dan bermuhasabah serta mempertimbangkan kesannya kepada perjuangan umat Islam.



Khasnya apabila sekarang ini sewaktu tulisan ini ditulis sepasukan mujahidin di Yaman yang dilabelkan sebagai Al-Qaidah oleh Amerika Syarikat telah berjaya menawan wilayah Abyan di Aden, Yaman pada hari Sabtu 28 Mei 2011 yang lalu dan sedang mempersiapkan pasukan tentera mujahidin sejumlah 12 000 orang untuk menubuhkan daulah Islamiyah yang bebas dan merdeka apabila Presiden Yaman, Ali Abdullah Salleh telah melarikan diri ke Riyadh, Arab Saudi. Seterusnya mereka sedang berazam untuk menuju ke Palestin dan mengembalikan Masjidil Al-Aqsa ke tangan umat Islam.



Secara kesimpulannya, apabila membincangkan tentang perjuangan umat Islam maka kita boleh membahagikannya kepada lima bahagian penting iaitu Pertama ialah perjuangan membela agama dan mempertahankan Islam. Kedua ialah perjuangan membela diri serta hak-hak yang dicabuli. Seterusnya perjuangan ketiga ialah perjuangan membela idea dan fahaman tertentu, ke-empat ialah perjuangan mendapatkan kedudukan duniawi dan memajukan taraf hidup. Manakala yang terakhir iaitu perjuangan kelima ialah perjuangan diri sendiri untuk melaksanakan kewajipan agama dan perintah Allah dalam kehidupan.



InsyaAllah di dalam buku yang sedang dan akan disiapkan oleh saya ini yang bertajuk “Janji Akhir zaman dan Kaitannya dengan Perjuangan Umat Islam” ini kita akan dapat melihat secara manhaji menurut panduan Al-Quran dan As-sunnah akan segala perkara yang disampaikan oleh baginda rasulullah salallahualaihiwassalam berkenaan janji-janji akhir zaman dan membuat penilaian yang adil dan saksama terhadap kumpulan-kumpulan umat Islam, memahami sebab perpecahan dan mencari jalan selamat bagi menuju kepada Allah swt dan panduan bagaimanakah menjalani kehidupan di zaman fitnah serta cara dan kaedah untuk memperjuangkan agama Allah swt.



Semoga Allah swt merahmati kita semua.



Barakallahufikum jami’an.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Selamat Berjuang