Monday, November 28, 2011

FB :STUDENTS KAHWIN AWAL?..NO HAL LA...

Saya kawin lambat, dalam usia 29 tahun. Tapi setuju dengan konsep kawin awal. Bukan kerana ketelanjangan sifat ke'kawin'an yang awal atau ke'awal'an kawin semata-mata, tapi hanya kerana sekiranya ia alternatif pembaik pulih ummah. Sedang di sana banyak solusi yang lain yang mungkin saja lebih atau kurang atau sama tepat dengan kempen kawin awal. Jadi ini sekadar pendapat. Kalau tidak tepat semua, mungkin ada betulnya. Kalau tidak bernas untuk suatu waktu, mungkin bernas untuk suatu waktu yang lain. Tapi kaitkanlah dengan zaman tulisan ini dibuat.

Ya !
Pendapat saya memang relatif,
tapi kita hidup pada zaman ancaman 1001 seduktif,
maka ia boleh jadi radioaktif.

Orang kata : Kawin awal itu mungkin boleh menjejaskan kecemerlangan pencapaian akademik.

Saya kata : Bahkan menegah kawin awal itu risiko besar menjejaskan kecemerlangan pencapaian akhirat !

Ganggu belajar ?
Daripada nikmat dalam maksiat
Lebih baik derita dalam berkat

Buka mata luas-luas di zaman mana kita hidup sekarang.
Bukan zaman Ibnu Abbas dan Saidina Ali,
Jiran kita bukan Hasan al Basri,

kita hidup di zaman iman senipis kulit bawang,
menakluk wanita bukan dengan iman tapi kuasa pawang,
pengikat cinta bukan akhlak peribadi tapi harta dan wang.

sudah ada serban yang terlucut gara-gara wanita seksi,
sudah ada makmum yang terlupa rakaat saat mendengar kasut tumit tinggi !

teknologi tinggi sudah ada semacam pengaruh pada hati nurani,
membuatkan remaja sekarang semakin maju cinta berahi,
mereka bukan golongan dinasti China yang kemaluan kaum lelakinya di'kasi'.

Bukan sedikit remaja yang mencari nikmat nikah di luar nikah,
tersepit antara doktrin tegahan kawin awal dengan tuntutan ammarah,
antara meraikan orang tua yang bersenjatakan perasaan dengan Tuhan pencipta fitrah.

Asalnya merancang cinta sejernih air al Kauthar,
Malangnya tersungkur hangus di pintu neraka membakar.

Mungkin pencipta doktrin agak Islamik bila mencadangkan puasa sebagai penunduk nafsu dan alat penyabar menghitung waktu,
Tapi bukankah mereka juga memandang enteng kepada segala gejala sosial yang tak berhala tuju,
Agak sukar menjadikan pinggan sebagai perisai peluru berpandu.
Perut berpuasa tapi mata terus merana memujuk nafsu.
Jadi di mana keseimbangannya ?
Penyelesaian bukan semata-mata pada "PUASA" tapi pada "MEMELIHARA KESEIMBANGAN". Bukankah Islam menyeru kepada wasatiah yang memberikan pegangan kemas kepada kehidupan manusia.
MEMELIHARA KESEIMBANGAN itu lebih berkesan dari PUASA dalam merealisasikan objektif-objektif syariah secara universal.

Kalau mengheret puasa dengan alasan Islam, maka kenapa tidak diheret sekali penghapusan gejala sosial dengan alasan Islam ?
Baru adil bukan ?

Kita tidak nafikan ada pasangan bercinta yang mengungguli iman sebelum kawin,
tapi ia bukan DALIL untuk memperjuangkan doktrin tegahan kawin awal.
kalau perkahwinan itu merupakan kaedah profesional dan primer untuk membersihkan akhlak dan susur galur keturunan manusia, jangan sesekali menjadikannya amatur dan sekunder.

Sampai bila kita konon-kononnya nak beri contoh kepada remaja bercinta dengan ayat motivasi, "bukankah ada pasangan yang bercinta dahulu tanpa berkahwin sambil mempertahankan iman",
sedangkan sudah ada syariat perkahwinan itu sebagai jalan terbaik !?
Apakah kita dahulu dilahirkan sebagai malaikat ?

Kita terus berteori unggul tentang pengurusan mencari duit untuk keselesaan dunia, tapi saham akhirat semakin dahaga.
kita bersungguh-sungguh bagai menatang minyak yang penuh dalam urusan dunia tapi tidak pernah teliti modal akhirat yang semakin kehausan.

MUNGKIN, momokan terbaik ialah teori makan pasir kalau kawin awal.
Akhirnya rezeki itu urusan siapa ?
Berkat jugakkah rezeki yang banyak ketika tidak berkahwin tapi bersalut maksiat ?

Ini bukan soal tawakkal tidak bertindak,
Tapi terus berusaha dalam zaman terdesak,
Jadi, dari mulut kotor mencaci macam keladak,
Sebaiknya hulurkan sokongan mental dan material sebagai ganti mencipta pantang larang yang banyak tapi tolongnya tidak.

Bila satu keluasan agama semakin ditutup sempit, pasti akan ada kehancuran dalam kehidupan manusia.

Kita saja yang memandai-mandai mencipta doktrin kawin awal mengganggu belajar,
sedangkan sistem pembelajaran setiap zaman sekadar bernilai sementara dan temporal,
sementara naluri berpasangan itu sudah wujud sejak manusia dijadikan.

Apakah tradisi fitrah zaman-berzaman yang bersifat fundemental dan konsisten dipinggirkan semata-mata meraikan budaya sementara yang bersifat rapuh dan tentatif ?

FIKIRKAN....
SUMBER:FACEBOOK
~Ustaz Azman Shah-Mesir~

1 comment:

-hazen said...

pinjam kata2 ini

Daripada nikmat dalam maksiat
Lebih baik derita dalam berkat

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Selamat Berjuang