| 
  ASHABUL KAHFI (PENGHUNI GUA)  Sudah menjadi adat yang lazim bagi penduduk Upsus     merayakan suatu hariraya, dimana mereka sama-sama menghiasi berhala-berhala     dan patung-patung, lalu mereka berdiri disekitar patung-patung itu dengan     riang gembira, sambil memuja-muja dan menyembahnya, bahkan memberikan     korban-korban yang berharga kepada patung-patung dan berhala-berhala itu.     Suatu adat kebiasaan yang tidak dapat dirobah dan dilanggar oleh siapa     juga. Tetapi ditengah-tengah golongan penduduk yang ramai itu, ada seorang pemuda     termasuk golongan bangsawan dan mulia, tampaknya tidak begitu gembira     ditengah-tengah semua orang yang sedang bergembira itu. Dia termenung     seorang diri, jiwanya tampak gelisah.
 Ketika semua orang sudah sama-sama menyembah kepada berhala-berhala yang     dirayakan sebesar-besarnya itu, pemuda itu tampak keengganannya untuk     menundukkan kepalanya. Tampak pula keraguan dan kebingungan hatinya untuk     turut menyembah dan bersujud kepada batu-batu berhias itu.
 Keraguan dan kebingungannya, segera berubah menjadi ketetapan hati untuk     menyanggah apa yang dilihatnya itu. Akal dan fikirannya berontak rupanya,     sehingga dia terpaksa keluar dari barisan orang ramai dengan diam-diam dan     sembunyi-sembunyi,berjalan meninggalkan tempat perayaan besar itu untuk     menjauhkan diri. Akhirnya dia berhenti dibawah sebatang pokok kayu, lalu     melepaskan kelelahan fikirannya. Mukanya tampak merah padam, menunjukkan     jiwanya yang sedang berontak keras.
 Perasaan yang demikian itu rupanya tidak timbul dalam jiwa pemuda itu saja.     Tidak lama sesudah dia tertunduk dibawah pokok kayu itu, ia disusul oleh     seorang pemuda lain yang sebaya dengannya, sama-sama bangsawan kaumnya. Dia     pun kerana jiwanya memberontak, tidak sudi lagi memuja dan memuji-muji batu     itu. Dua orang pemuda ini segera disusul oleh seorang pemuda lainnya     berturut-turut, sehingga mereka sekarang berjumlah tujuh orang.
 Ketujuh pemuda ini segera berkenalan, mereka bercakap-cakap mengemukakan     pendirian dan fikiran masing-masing. Ternyata kesemuanya mempunyai pendapat     yang sama, fikiran yang bulat, sekalipun pada mulanya mereka tidak     kenal-mengenal.
 Mereka itu sepakat dan berjanji, tidak akan menyembah dan memuja     patung-patung itu lagi, sebagai umumnya bangsa mereka sendiri. Lalu mereka     menerawang ke alam yang luas, ke langit yang biru, ke matahari yang sedang     bersinar, ke gurun yang luas tidak berpinggir itu.
 Mereka berkeyakinan bahawa kesemuanya itu tentu ada yang menjadikan dan     menguasai, iaitu Allah s.w.t. "Ya, Allah, inilah yang harus kita     sembah," kata mereka.
 Mereka bersumpah akan menyembah Allah dan akan memegang teguh agama mereka     ini. Jiwa mereka mulai tenang kembali dan mereka sepakat pula akan menyembunyikan     apa yang terkandung dalam jiwanya masing-masing itu, terhadap bangsanya     yang masih sesat dan fanatik, takut kalau-kalau hal itu diketahui rajanya,     yang pasti akan memaksa mereka untuk kembali ke agama yang sesat itu. Hal     ini tak dapat mereka pertahankan, kerana mereka tidak ramai dan tidak     mungkin kuat untuk melawannya.
 Demikianlah beberapa waktu lamanya, mereka hidup diantara bangsanya, ke     hulu sama ke hulu, ke mudik sama ke mudik, namun dalam jiwanya bertentangan     seratus peratus. Tetapi bila pemuda-pemuda itu sedang seorang diri,     masing-masing bersembahyang menyembah Allah s.w.t. berdoa dan bermunajat     kepadaNya.
 Pada suatu malam, ketujuh pemuda ini berkumpul disuatu tempat. Dalam     pertemuan itu, salah seorang diantara mereka lalu berkata dengan berbisik:     "Saudara-saudara, kelmarin saya mendengar khabar yang amat     mengecewakan kita, bila benar orang yang membawa khabar ini, iaitu ada     persiapan untuk merusakkan agama kita, serta membahayakan jiwa kita. Saya     dengar, bahawa raja sudah mengetahui akan hal kita ini. Bukan main marahnya     setelah dia mengetahui. Raja telah memutuskan akan menghukum kita dengan     hukuman yang seberat-beratnya, bila kita tidak kembali dari agama kita ini.     Saya khuatir sekali kerana menurut khabar itu juga, bahawa tindakan kejam     terhadap kita itu akan dijalankan besok pagi dengan memanggil kita semua.     Kalau kita benar-benar hadir dihadapan raja, sudah pasti kita akan     mengalami hal-hal yang tidak diinginkan. Marilah kita fikirkan bersama apa     yang harus kita jalankan."
 Mendengar keterangan ini, lalu berkata pula yang lainnya: "Khabar ini     sudah lama pula saya mendengarnya. Mula-mula saya kira hanya khabar bohong     saja. Tetapi tanda-tanda semuanya
 menunjukkan bahawa khabar itu benar-benar adanya. Nyata sudah, bahawa kita     tidak akan dapat meninggalkan agama kita, sekalipun apa juga yang akan     terjadi. Matahari timbul setiap pagi dan tenggelam setiap petang, menjadi     bukti adanya Tuhan yang kita sembah. Segala yang ada ini menjadi bukti     kebenaran yang kita sembah."
 Sebelum dapat memutuskan apa-apa yang harus mereka lakukan, tiba-tiba     mereka sudah didatangi pengawal diraja. Ketujuh pemuda itu digiring     mengadap raja, diceraikan dari keluarganya masing-masing. Raja lalu berkata     kepada mereka: "Kamu sudah mencuba menyembunyikan apa yang terkandung     dalam hatimu masing-masing. Tetapi apa yang kamu sembunyikan itu sudah ku     ketahui semuanya, baik yang lahir, mahupun yang batin. Kamu telah     melemparkan agama raja dan agama rakyat, lalu menganut agama baru yang     tidak ku ketahui bagaimana cara datangnya kepadamu.
 "Aku mahu menghukum kalian dengan hukuman yang seberat-beratnya.     Tetapi hukuman ini ku tangguhkan, memandang kehormatan keluarga dan     kebangsawananmu sekalian.
 "Aku memberi tempoh kepadamu sekalian untuk berfikir: Kamu harus     kembali ke agama yang lama, iaitu agama raja dan agama rakyat, atau kamu     akan dilihat orang ramai untuk digantung, dipenggal lehermu dan dibunuh     mati."
 Kepada masing-masing pemuda yang tujuh orang itu, diberikan Allah hati yang     tetap, keimanan yang teguh; mereka lalu menjawab: "Ya raja, kami     menyembah Tuhan kami ini bukan dengan meniru, tetapi sebagai penyelidikan     dan pemikiran kami yang sedalam-dalamnya. Adapun orang ramai yang menyembah     patung-patung itu adalah semata-mata dengan meniru saja, tidak dengan     menjalankan akal dan fikirannya sedikit juga. Kalau kami kembali menyembah     agama mereka, bererti kami menipu diri sendiri dan menipu raja pula. Sebab     itu kami akan tetap memegang teguh agama kami ini, terserahlah kepadamu     untuk menjalankan tindakan apa saja yang engkau kehendaki."
 Raja lalu menjawab: "Janganlah kamu menjawab sekarang. Pulanglah     dahulu, besok pagi datang lagi menghadap. Pilihlah salah satu di antara dua     hal yang sudah ku kemukakan itu. Terserah kepadamulah untuk     menentukannya."
 Di saat itu juga mereka lalu bermusyawarah di salah suatu tempat yang agak     jauh dari kota. Salah seorang lalu berkata: "Raja memang sudah tetap     dengan keputusannya, kita pun sudah tetap pula dengan keputusan kita, iaitu     dua putusan yang bertentangan. Kalau kita datang lagi esok, bererti kita     menyerahkan jiwa kita untuk dicabut. Sebab itu guna mempertahankan agama     kita marilah kita menyembunyikan diri dalam gua yang terletak di gunung     itu. Sekalipun gua itu sempit dan gelap keadaannya, tetapi iman dapat     melapangkan dada dan menenangi fikiran kita. Sebaliknya kita berada di alam     yang lapang dan ditenangi oleh matahari, kita tidak merdeka beragama dan     menyembah Tuhan kita. Marilah kita berhijrah ke sana dengan agama dan     kepercayaan kita. Apa gunanya kita hidup di sini, dimana kita dipaksa     beragama yang tidak sama dengan fikiran kita sendiri !"
 Ketika itu juga mereka bersiap menyediakan bekalannya masing-masing, lalu     berangkat meninggalkan kampung halaman dan keluarga masing-masing, menuju     ke gunung yang jauh letaknya, ke gua sempit di tengah hutan. Mereka pergi     tanpa senjata dan pengawal. Untung di tengah jalan mereka disusul oleh     seekor anjing kepunyaan salah seorang di antara mereka. Anjing inilah yang     menjadi penunjuk jalan menuju ke gua yang terpencil itu.
 Setelah mereka memasuki gua itu, anjing itu tetap berdiri, di muka gua,     berjaga dengan merentangkan kedua kakinya.
 Di tepi gua itu mereka temui buah-buahan, lalu dimakannya dan ada pula     sedikit air, lalu diminumnya. Setelah itu mereka duduk melepaskan lelahnya,     setelah lama berjalan, mendaki dan menurun. Baru saja mereka sama-sama     merebahkan dirinya untuk menenangkan perasaan letihnya, tiba-tiba mereka     itu semuanya tertidur senyenyak-nyenyaknya.
 Malam berganti siang, siang pun berganti malam, tahun berganti tahun dan     abad berganti abad, sedang pemuda-pemuda itu tetap tidur dengan nyenyaknya.     Mereka tidak mengetahui samasekali akan penggantian malam dengan siang,     penggantian tahun, penggantian musim dan penggantian abad. Hujan dan angin     taufan pun tidak mereka ketahui, begitu jua guruh dan petir tidak mereka     dengar.
 Dengan takdir Allah, jalannya matahari agak membelok sedikit, sehingga     tepat di pintu gua tempat mereka bersembunyi itu. Dengan keadaan cahaya     matahari yang sangat terik itu, mereka terbangun.
 Tiga ratus sembilan tahun lamanya mereka tidur. Di kala terbangun itu     keadaan mereka sudah jauh berubah. Mereka merasakan lapar yang bukan     kepalang hebatnya, tetapi masing masing tidak mengetahui berapa lamanya     mereka tertidur itu.
 Salah seorang lalu berkata: "Saya menduga lama benar tidur kita ini.     Cuba kamu katakan berapa lamakah gerangan?"
 Seorang lagi lalu menjawab: "Berdasarkan letihnya badan dan laparnya     perut kita, maka saya kira kita sekalian tertidur sehari lamanya."
 Berkata pula orang yang ketiga: "Kita mulai tidur di waktu pagi dan     itu matahari masih belum terbenam. Kalau begitu kita tidur hanya setengah     hari sahaja."
 Berkata pula yang keempat: "Apa gunanya kita bertengkar tentang     lamanya tidur. Tuhanlah yang lebih mengetahui berapa lamanya kita tidur.     Tetapi kerana saya terlalu lapar, sebab tidak makan dahulu sebelum     berangkat, maka siapakah di antara kita ini yang mahu pergi ke kota (pasar)     untuk membeli makanan? Inilah wangnya; tetapi harus berhati-hati jangan     sampai diketahui orang atau raja, bahawa kita berada dalam gua ini, sebab     sudah pasti raja dengan kakitangannya sedang mencari kita dimana     mana."
 Salah seorang dari mereka lalu keluar menuju ke pasar mencari makanan,     dengan perasaan khuatir dan takut, akhirnya sampailah dia ke dalam kota     Upsus, iaitu negerinya sendiri. Alangkah hairannya ia bahawa negeri itu     benar-benar negeri Upsus. Tetapi segala pemandangan yang dilihatnya berubah     semuanya. Berubah tanda tandanya, berubah bentuk rumah dan     gedung-gedungnya. Banyak pula dilihatnya bekas gedung-gedung yang sudah tua     yang sudah runtuh. Tiap-tiap orang lalu lalang diperhatikannya, seorang pun     tidak ada yang dikenalinya. Dia berkata dalam hatinya: "Negeri ini     seakan-akan negeri kami sendiri tetapi penduduknya bukanlah bangsa kami     sendiri, jauh berbeza keadaan mereka ini."
 Dia berjalan terpinga pinga, makin bertambah banyak juga tolehnya ke kiri     dan ke kanan. Nyata kebimbangan dalam setiap langkahnya, sehingga setiap     orang yang melihat kepadanya, dapat mengetahui bahawa dia adalah orang     asing yang baru sekali melalui negeri ini. Salah seorang penduduk yang     melihat akan keadaannya, lalu bertanya kepadanya: "Apakah engkau orang     asing di negeri ini? Dari manakah asalmu dan apa yang sedang menggoda     fikiranmu? Siapakah yang sedang kau cari?"
 Mendengar pertanyaan itu, dia lalu menjawab: "Saya bukan orang asing.     Saya sedang mencari makanan untuk saya beli, di manakah tempat orang     menjual makanan?"
 Orang itupun lalu membawanya ke tempat orang menjual makanan. Makanan     diambilnya dan penghuni gua ini pun mengeluarkan wang yang ada dalam     sakunya. Alangkah terkejut sipenjual makanan itu, setelah dilihatnya     matawang yang dibayarkan pemuda itu, adalah matawang lama, yang beredar     tiga abad yang silam, yang sudah tidak laku lagi di saat itu. Sipenjual     makanan itu mengira, bahawa pemuda itu pasti mendapat barang pendaman dan     pasti fikirannya bahawa selain matawang yang dilihatnya itu tentu ada     banyak lagi harta kekayaan lainnya. Orang ramai yang sama melihat matawang     itupun berkerumun melingkari pemuda itu. Mereka ingin tahu di mana pemuda     itu menyimpan hartabenda pendaman itu.
 Dengan rasa tercengang dan penuh hairan akan maksud mereka, pemuda gua itu     lalu berkata: "Saya bukan mendapat barang pendaman sebagai yang kamu     sangkakan, wang ini adalah wang yang kudapat dari temanku kelmarin. Dengan     wang ini saya berniat untuk membeli makanan. Kenapa kamu merasa terkejut     melihat wangku ini? Kenapa kamu menyangka yang bukan-bukan terhadap     diriku?"
 Pemuda gua itu segera berpaling hendak melarikan diri, kerana takut akan     terbuka rahsia teman-temannya yang sedang bersembunyi, menyembunyikan diri     dari tangkapan raja negeri itu.
 Tetapi orang ramai menghalangnya. Dengan kata-kata yang sopan-santun,     mereka ingin mendengarkan cerita selanjutnya.
 Dalam percakapan selanjutnya, maka terbuktilah kepada orang ramai itu,     bahawa pemuda ini adalah pemuda yang lari dari kepungan raja pada tiga abad     yang silam. Mereka mengetahui akan peristiwa itu, dari cerita yang telah     masyhur dan diketahui orang ramai. Larinya pemuda-pemuda itu kerana tidak     sudi menjual agamanya kepada raja yang ganas, yang memaksa mereka untuk     menyembah batu.
 Salah seorang di antara mereka itu berkata kepada pemuda itu:     "Janganlah engkau khuatir kepada raja ganas yang engkau katakan tadi.     Raja itu sudah mati pada tiga abad yang silam. Raja yang memerintah     sekarang ini, adalah seorang raja yang mukmin dan baik hati. Raja kami yang     sekarang ini orang beriman seperti yang kamu imani. Di manakah     teman-temanmu yang lainnya? Bawalah mereka ke mari semuanya "
 Barulah pemuda itu insaf akan apa sebenarnya yang sudah terjadi. Dengan     ketenangan yang amat jelas serta dengan alasan dan bukti-bukti yang cukup     terang, maka terbuktilah bahawa mereka berada dalam gua bukan semalam atau     setengah hari, tetapi sudah tiga abad lamanya. Segera pemuda itu minta izin     untuk memberitahukan teman-temannya yang masih bersembunyi dalam gua, agar     keluar dari persembunyiannya dan menerangkan kepada penduduk negeri itu     akan keadaan yang sebenarnya; apalagi mereka sedang menunggu dengan     kelaparan dalam gua, serta ingin mengetahui keadaan di luar gua.
 Laporan peristiwa ini segera sampai kepada raja yang soleh, yang sedang     berkuasa di negeri itu. Raja sendiri tampil turut menyambut pemuda-pemuda     beriwayat itu dari dalam gua tempat persembunyian mereka. Raja pun ingin mengetahui     akan riwayat dan wajah mereka, selama ini mereka senantiasa menjadi bualan     orang ramai saja.
 Setelah mereka keluar dari gua itu, mereka disambut raja dan penduduk     negeri. Raja membawa mereka ke dalam istana dan diberinya tempat di istana     yang indah itu. Para pemuda tadi lalu berkata kepada raja: "Kami ini     sudah tidak mengharap hidup yang lebih panjang lagi, kerana kami sudah     melewati beberapa keturunan dan kesemuanya telah meninggal dunia, bahkan     negeri dan gedung-gedung besar yang dahulu pun sudah runtuh semuanya; yang     kami lihat sekarang ini adalah serba baru. Kami pun sudah puas melihat raja     dan penduduk yang hidup di negeri ini sudah sama-sama beriman kepada     Allah."
 Para pemuda itu lalu bersujud dan berdoa ke hadhrat Allah agar menurunkan     rahmatNya dan agar Allah mengizinkan mereka pulang ke rahmatullah. Tidak     lama kemudian sesudah mengucapkan doa itu mereka lalu menghembuskan     nafasnya yang terakhir, dengan tenang dan tenteram.
 Keadaan dan kejadian itu, menjadi dasar yang kuat sekali bagi mereka untuk     tetap iman dan tunduk kepada Allah, Tuhan yang Maha Kuasa. Mereka makin     percaya bahawa janji Allah itu benar semuanya, serta Hari Qiamat dan     akhirat itupun benar semuanya. Sepeninggalan mereka, orang lalu bentengkar     cara bagaimana pemuda-pemuda suci itu dapat diperingati. Ada yang     mengusulkan agar di atas kubur mereka itu didirikan sebuah tugu besar,     rumah dan gedung yang dapat menunjukkan kebesaran mereka itu. Tetapi ada     juga satu golongan dari orang-orang yang cinta terhadap pemuda-pemuda itu berkata,     agar jangan tugu yang didirikan tetapi dirikanlah masjid di atas gua mereka     itu, supaya dari dalam masjid itu dapat orang sama sama menyembah dan     membesarkan nama Allah dan selalu insaf akan kebesaran Allah. Sebab apa     ertinya sesuatu peringatan dan penghormatan, bila peringatan dan     penghormatan itu tidak dapat membawa orang kepada menghormati dan     membesarkan Allah, Tuhan yang Maha Terhormat dan Maha Kuasa.*
 --------------------------------------------------------------------------------
 * Orang ramai selalu bertengkar tentang jumlah mereka     itu. Ada yang berkata bahawa mereka itu tiga orang, empat dengan anjingnya.     Ada yang mengatakan lima orang, enam dengan anjingnya dan ada pula yang     mengatakan tujuh orang, lapan dengan anjingnya. ---------------------------------------------------------------------------------
 ASHABUL UKHDUD Kota Sana ibu negeri Yaman purbakala, dimana duduk bertakhta seorang raja     berugama Yahudi yang sangat fanatik, yang bernama Zu Nuwas, sedang     bermandikan terik panas matahari, ditambah lagi oleh panas gurun Sahara     yang terdiri dani lautan pasir, sehingga hawa udaranya memuncak panas tidak     terkira. Tidak hairan kalau di hari itu semua jalanraya menjadi sunyi sepi,     seluruh desa dan kota hening tenang tak bergerak sedikit juga kerana angin     pun tidak berhembus.
 Ke arah mana saja kita menoleh, tidak ada seorang manusia pun yang tampak     keluar dari rumah mereka masing-masing. Desa dan kota merupakan desa dan     kota yang mati layaknya, sekalipun kota dan negeri itu adalah kota yang     terbesar dan teramai di seluruh dunia Arab di masa itu.
 Tiba-tiba dari utara kota tersebut, muncul seorang lelaki yang sedang     berjalan menuju ke tengah kota ke arah istana raja. Tampaknya orang itu     datang dari tempat yang jauh sekali menempuh padang pasir yang terik, di     bawah sinar matahari yang luarbiasa panasnya itu.
 Setibanya di dalam kota Sana, langkahnya agak tertegun, hati dan dadanya     tampak berdebar-debar, syak dan ragu-ragu; kedua matanya penuh dengan     bayangan kehairanan dan keraguan. Langkah kakinya mulai tak seimbang lagi,     maju-mundur yang tidak diketahui sebab-musababnya.
 Tampak nyata bahawa orang itu menyimpan rahsia besar dalam dadanya. Kalau     tidak rahsia besar, pasti ada urusan penting yang maha penting yang sedang     direncanakannya.
 Setelah dekat ke istana raja, tiba-tiba dia ditegur oleh penjaga istana:     "Untuk apa engkau datang ke istana ini di waktu terik panas matahari     yang begini rupa, di kala semua manusia sama-sama melindungkan diri dari     panas yang terik ini? Jangankan manusia, binatang dan burung pun sama-sama     tidak kelihatan berkeliaran kerana panasnya hawa."
 Orang lelaki itu menjawab: "Saya datang membawa kabar hebat, urusan     penting yang perlu saya laporkan kepada Raja Zu Nuwas."
 Penjaga berkata lagi: "Raja sedang sibuk, tidak akan sempat bertemu     denganmu dan dengan siapa juga. Sekalipun raja sudah beres dengan     kemenangan besar dalam memerangi bangsa Syanatir dan telah berhasil     menguatkan kedudukannya di kota Sana ini dan telah berhasil pula     mengembalikan kedudukan bangsa Yahudi ke tempat yang selayaknya, tetapi     sekarang ini raja sedang bersiap-siap pula untuk menggerakkan perang     dahsyat lagi ke negeri-negeri yang jauh, kerana raja tidak senang sebelum     seluruh manusia Timur dan Barat semuanya masuk berugama Yahudi.
 Petang ini, setelah matahari terbenam dan udara menjadi agak dingin     kembali, raja akan keluar ke kebun bunga ltu, dengan diiringi oleh semua     pengiring dan para menterinya, pembesar-pembesar kerajaan dan kepala-kepala     staf angkatan perangnya yang selalu setia kepadanya, untuk bermesyuarat     tentang siasat perang yang harus dijalankan guna menyebarkan Ugama Yahudi     di seluruh pelosok alam ini."
 Mendengar keterangan itu, orang itupun berkata: "Kedatangan saya ini     tidak jauh maksudnya daripada niat raja itu. Saya tidak akan datang menghadap     di kala terik panas matahari begini, kalau tidak kerana untuk kepentingan     ugama yang kita cintai itu. Kalau tuan sudi memberitahukan kedatangan saya     ini kepada raja, saya percaya bahawa raja akan memanggil saya masuk dan     pasti raja akan mementingkan laporan saya ini."
 Sambil menunggu jawapan dari dalam istana, orang itu pun duduk bernaung di     bawah atap istana, menghindarkan teriknya panas matahari.
 Tidak lama berselang, Raja Zu Nuwas dengan diiringkan para pengawal,     pembesar-pembesar pemerintahan dan kepala-kepala perangnya, keluar dari     istana menuju ke tamannya yang indah untuk meneruskan sidang yang berat.     Pengawal itupun segera datang memberi kabar kepada raja: "Seorang     musafir dari daerah Najran, ingin bertemu dan akan memberi laponan tentang     keadaan Najran, iaitu laporan yang amat penting."
 Lelaki musafir yang sudah menunggu-nunggu itupun tampil ke hadapan raja,     lalu memberikan laporan dengan berkata: "Ya, rajaku yang mulia.     Mudah-mudahan Tuhan melindungi tuan dan kerajaan, serta selalu dapat menghancurkan     musuh Ugama Yahudi yang kita cintai, juga mendapat taufik dan hidayah Tuhan     dalam mempertahankan agama kita. Saya datang bukanlah untuk meminta dan     mengharapkan hadiah, tetapi sengaja membawa khabar tentang daerah Najran,     dimana sekarang ini telah tersebar ugama baru, yang makin lama makin ramai     pengikutnya, mungkin akan merata ke seluruh Yaman dan seluruh dunia,     mengalahkan ugama kita sendiri. Ugama baru itu dinamakan orang Ugama     Nasrani (Krisitian)."
 Dengan terperanjat, lalu raja berkata kepada musafir itu: "Sungguh     mengejutkan benar berita yang kau bawa ini. Terangkanlah kepadaku dari awal     sampai akhirnya tentang agama baru itu!"
 Musafir itu meneruskan ceritanya dan laporannya: "Ugama baru itu     adalah berdasarkan ajaran Nabi Isa al-Masih. Telah banyak orang-orang yang     mulanya menyembah berhala-hala memasuki ugama baru itu dan orang-orang yang     berugama Yahudi pun sudah banyak pula yang masuk."
 "Bagaimana cara masuknya ugama baru itu ke Najran?" raja     meningkah pembicaraan musafir itu.
 "Mula-mula sekali masuk ke Najran dua orang lelaki. Yang pertama     bangsa Rumawi, Fimiyun namanya dan yang bangsa Arab, Saleh namanya. Adapun     Fimiyun itu sebagai budak yang dibeli oleh seorang penyembah korma.     Ternyata kepada pembeli itu, bahawa budak yang bernama Fimiyun itu     sangatlah baik perangainya, penuh dengan ketenangan dan kesabaran, tidak     pernah mengeluh dan melukai perasaan orang lain. Setiap harinya dia     senantiasa bekerja dengan rajin dan setiap petang dia bertekun dalam     kamarnya, bersembahyang dan menyembah Tuhan.
 "Pada suatu malam tuannya itu masuk ke karnar Fimiyun, didapati     kamarnya itu terang-benderang tetapi tidak ada lampunya. Tuannya menjadi     hairan dan bertanya tentang ugamanya. Budak itu menerangkan, bahawa ia     beragama Nasrani, menyembah Allah yang Maha Esa menurut apa yang diajar     Nabi Isa al-Masih kepada-nya.
 "Adapun korma yang engkau sembah itu, kata Fimiyun kepada tuannya,     tidak dapat berbuat apa-apa, tidak dapat mengabulkan doamu. Adapun Allah     yang Maha Esa yang saya sembah ini dapat mengabulkan semua doa dan sanggup     atas segala-galanya.
 "Kalau tuan suka beriman, kata Fimiyun selanjutnya, saya akan mendoa,     dimana ternyata nanti bahawa Tuhan yang saya sembah lebih berkuasa dari     korma yang tuan sembah itu."
 "Berdoalah engkau," kata tuannya, "kalau benar doamu; nanti     saya akan beriman pula dengan ugamamu itu."
 "Fimiyun segera mengucapkan doanya kepada Tuhan. Sebentar itu juga     semua korma yang disembah tuannya itu pun menjadi kering dan mati semuanya.
 "Kejadian ini segera tersiar seluruh pelosok dan orang-orang yang     menyembah korma dan berhala, sama-sama merobah ugama mereka dengan ugama     Nasrani yang dibawa oleh Fimiyun itu. Orang-orang Yahudi pun telah banyak     beriman kepadanya, serta meninggalkan ugama Yahudinya.
 "Adapun Saleh yang menjadi temannya itu, pada mulanya ketika dia     berada di tanah Syam, tempat lahir Nabi Isa al-Masih, pada suatu hari dia     melihat Fimiyun sedang sembahyang di padang pasir, tiba-tiba datang ular     besar menuju Fimiyun yang sedang sembahyang itu. Fimiyun tidak memutuskan sembahyangnya,     tetapi terus, sekalipun ular telah dekat sekali. Saleh lalu berteriak     menasihatkan, agar Fimiyun berhenti sembahyang dan melarikan diri, tetapi     Fimiyun tidak berhenti dan terus sembahyang. Ular besar yang sudah     mengangakan mulutnya hendak menerkam, mati seketika itu juga. Sejak waktu     itu, Saleh menyerahkan diri dan tenaganya kepada Fimiyun. Keduanya pergi     dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mengajarkan ugama mereka itu.     Keduanya akhirnya dapat ditawan sekelompok bangsa Arab dan menjual mereka     kepada orang penyembah korma, sebagai yang diterangkan tadi.
 "Sekarang ugama mereka itu telah tersiar luas sekali. Saya datang ke     mari agar raja segera bertindak terhadap ugama banu ini."
 Mendengar cerita itu, bukan main marahnya Raja Zu Nuwas. Dadanya     dibusungkannya, tangannya dihempaskannya. Dengan mengacungkan pedangnya ke     udara, dra bersumpah bahawa dia ketika itu juga dengan segenap kekuatannya     akan berangkat ke Najran, untuk mengajar bangsa Najran yang sudah murtad     itu, katanya, agar mereka kembali masuk Ugama Yahudi, ugama lama yang tidak     boleh ditukar-tukar lagi, katanya. Tidak lama kemudian, daerah Najran yang     sempit dan tidak begitu luas itupun telah terkepung dari segenap penjuru     oleh angkatan perang Raja Zu Nuwas. Kepada seluruh penduduk yang telah     beragama Nasrani itu dikeluarkan ancaman, apakah mereka akan kembali kepada     Ugama Yahudi, atau semuanya akan dibunuh mati, kecil-besar, tua-muda,     lelaki perempuan.
 Kerana keimanan yang kuat, penduduk Najran tetap memegang teguh ugama     mereka yang berdasarkan keimanan kepada Allah yang Maha Esa, sekalipun     mereka akan dibunuh mati.
 Setelah Raja Zu Nuwas melihat dan mengetahui, bahawa rata-rata penduduk     Najran tidak mahu tunduk kepada bunyi ancaman-nya, kepada semua tenteranya     diperintahkan menggali lubang besar yang dalam. Di dalam lubang besar itu     ditimbunkan kayuapi yang mersik kering. Dengan kayu bakar yang kering itu,     lalu api dinyalakan sebesar-besarnya.
 Penduduk Najran ditangkap semuanya, dikumpulkan dalam sebuah perkampungan     di dekat lobang besar itu, lalu masing-masing mereka tua-muda, besar-kecil,     lelaki perempuan dengan berganti-ganti dan bergilir diperintahkan terjun ke     dalam lobang besar dengan api yang sedang bergejolak-gejolak itu, untuk     menutup riwayat hidup mereka.
 Semua itu dijalankan oleh penduduk Najran yang beriman itu, dengan tenang     dan sabar, tidak seorang juga yang merasa takut dan sedih. Kerana keimanan     yang demikian matang sempurna, gejolakan api begitu panas, mereka rasakan     sebagai angin yang berhembus sepoi-sepoi bahasa saja. Bahkan mereka     berlumba-lumba dan berebut-rebutan untuk menjatuhkan dirinya masing-masing     ke dalam api besar itu; kerana mereka yakin, bahawa di bawah gejolakan api     yang panas itu, telah menanti Syurga Jannatun-Naim yang dijanjikan Tuhan     kepada mereka.
 Sedang Raja Zu Nuwas dengan segala tentera dan pembesar-pembesarnya duduk     berbaris di atas bangku-bangku dan kursi-kursi yang sudah tersedia buat     mereka, menonton bangsa Najran yang sedang mengorbankan jiwanya.
 Dengan senang hati dan tertawa terbahak-bahak, mereka senang melihat orang     mati teraniaya dan merasa senang kerana dengan jalan begitulah katanya,     mereka dapat mempertahankan ugama mereka.
 Bangsa Najran yang berugama Nasrani, musnah semuanya dimakan api. Dalam     kampung itu hanya tinggal beberapa orang yang berugama Yahudi saja, iaitu     orang-orang yang seugama dengan rajanya yang ganas itu. Tetapi mereka tidak     tahu, bahawa cara-cara mereka melakukan keganasan dan mempertahankan ugama     mereka itu, adalah salah. Nanti di akhirat, mereka itu akan dilompatkan     Tuhan satu persatu ke dalam lobang api neraka, sedang bangsa Najran akan     menonton dengan riang gembira di jendela-jendela syurga yang mereka     tempati.
 BANJIR BANJIR Yaman adalah salah satu dari negara-negara Arab yang tersubur. Banyak turun     hujan dan tanahnya bergunung ganang. Tumbuh di situ berbagai     tumbuh-tumbuhan yang jarang terdapat di negara-negara Arab lainnya. Di     daerah Yaman yang subur itu, berdirilah sebuah negara yang maju dan makmur,     yang dinamai Negara Saba'. Kerana kesuburan tanah dan kepintaran     penduduknya negara yang kecil ini, lama-kelamaan bertambah luas juga     daerahnya. Banyak penduduknya, makmur dan maju dalam segala-galanya. Kota     Syirwah yang mulanya kecil dan sepi saja, tidak lama kemudian dapat mereka     jadikan kota besar yang penuh dengan gedung-gedung dan rumah-rumah yang     bagus dan teratur, sehingga kota ini mereka jadikan ibunegerinya. Kemudian     ibunegeri ini berpindah pula ke kota Ma'rib, yang jauh lebih teratur dan     moden daripada kota Syirwah.
 Satu hal yang selalu menjadi masalah sulit bagi teknik bangsa Saba'; iaitu     air hujan yang banyak turun di negeri itu, tidak lama dapat menggenangi     negeri mereka, kerana letak negeri itu yang tinggi. Sebentar saja sesudah     hujan-hujan besar itu, semua air lalu mengalir ke negeri-negeri lain yang     berdekatan dengan negeri Saba', yang umumnya terdiri dari padang pasir.     Bila sudah mengalir ke padang pasir, maka dalam sebentar waktu saja air itu     segera lenyap masuk pasir.
 Air hujan yang sangat berguna itu sebentar saja dapat membasahi dan     menggenangi negeri Saba' itu.
 Ahli-ahli pengairan bangsa Saba' tidak tinggal diam. Mereka selalu berfikir     dan berikhtiar, dengan jalan bagaimanakah agar air hujan itu dapat dibendung     jangan lekas mengalir ke daerah padang pasir.
 Akhirnya mereka dapat akal. Antara gunung dengan gunung a mereka timbun     hujung dan pangkalnya, sehingga air hujan tergenanglah di antara dua gunung     itu dan air yang tergenang itu mereka alirkan ke tempat-tempat yang     kekurangan air sekitar negeri mereka.
 Setelah sebuah bendungan ini selesai dikerjakan dan mendatangkan faedah     yang sangat baik kepada kemajuan pertanian dan kemakmuran negeri mereka,     lalu dibangun pula bendungan yang kedua, ketiga dan seterusnya, sehingga     dalam beberapa tahun saja, hampir semua gunung-gunung dan jurang-jurang     yang terdapat di negeri Saba' itu menjadi empangan raksasa yang hebat dan     sangat berfaedah, beratus-ratus buah jumlahnya.
 Kemakmuran dan kesuburan negeri Saba' semakin maju dan semakin kayaraya.
 Di antara empangan yang banyak ini, maka Empangan Ma'riblah yang terbesar     dan terkokoh, sehingga menjadi masyhur sekali di seluruh dunia di kala itu     dan sampai sekarang juga dalam sejarah.
 Ilmu teknik bangsa Saba', lebih-lebih tentang pengairan, semakin meningkat     tinggi yang menyebabkan kemajuan dan kemakmuran negeri semakin bertambah     juga. Hampir setiap pelusok negeri Saba' terdiri dari kota yang cantik     dengan rumah dan gedungnya yang bagus-bagus, dilingkari oleh perkebunan     yang luas-luas, penuh dengan berbagai-bagai tanaman dan tumbuh-tumbuhan,     kebun-kebun bunga dan lain-lainya.
 Hasil bumi negeri Saba' mengalir ke seluruh pelosok tanah Arab dan     negeri-negeri tetangga lainnya, sehingga kota-kota mereka selalu penuh     dengan pedagang-pedagang yang datang dari luar negeri. Bukan saja dari     daerah Hijaz, tetapi pula dari Tanah Syam dan Persia.
 Ke Yaman (Saba')lah tujuan tiap pedagang dan pelancung untuk merasakan     enaknya hawa dan segarnya buah-buahan, apa pula penduduknya yang baik budi,     beriman kepada Allah, selalu hidup dalam aman dan tenteram. Negeri inilah     yang dikatakan Tuhan dalam al-Quran: Baldatun Taiyibatun wa Rabbun Ghafur,     iaitu negeri yang aman dan makmur, serta dilimpahi rahmat Allah.
 Tetapi lama kelamaan keadaan bangsa Saba' berubah. Mereka mulai melupakan     Tuhan atas segala nikmat yang mereka terima itu. Dahulu bibir dan     lidah-lidah mereka tidak sunyi-sunyi mengucapkan syukur dan puji kepada     Tuhan, yang telah melimpahi mereka serta negaranya, dengan rahmat dan     nikmat itu. Tetapi sekarang, mereka seakan-akan tidak kenal lagi kepada     Tuhan, hanya kenal kepada hartabenda dan kemewahan hidup saja.
 Pelbagai kejahatan dan ragamnya mulai bermaharajalela di kalangan mereka,     sehingga keamanan dan ketenteraman selama ini berubah menjadi kacau dan     pergaduhan.
 Allah lalu mengutus beberapa orang Nabi dan Rasul, untuk nenginsafkan     mereka. Tetapi semua Nabi dan Rasul itu tidak mereka percayai, malah mereka     berpaling tidak sudi mendengarkan fatwa dan nasihat-nasihatnya.
 Setelah segala nasihat dan fatwa, serta semua tenaga yang dicurahkan para     Nabi dan Rasul itu sudah tidak berguna lagi bagi mereka, maka Allah     mengambil jalan lain, untuk membetulkan kesalahan dan kesesatan mereka.     Jalan ini, ialah dengan mengganti semua rahmat dan nikmat itu dengan seksa     dan azab.
 Empangan-empangan yang besar dan kuat yang mereka perbuat dengan susah     payah itu, runtuhlah; air bah mengalir ke kiri dan kanan, menumbangkan     semua gedung-gedung dan rumah-rumah, mendatarkan semua perkebunan dan     tanaman-tanaman yang penuh dengan buah-buahan.
 Semua air bah itu menuju ke padang pasir yang ada di sekitar negeri Saba'     dan meresap di tengah-tengah padang pasir. Negeri Saba' menjadi datar tak     berair lagi, sehingga dalam sebentar waktu saja tanah yang subur dan     bergunung-gunung itu menjadi padang pasir tandus, yang tidak dapat     ditumbuhi tanaman-tanaman di atasnya, selain beberapa macam tumbuh-tumbuhan     yang tak menghasilkan buah apa-apa.
 Keadaan mereka pun kucar-kacir, terdampar sejauh-jauhnya di bawah air bah     yang besar. Penduduk kampung Khassan terdampar ke daerah Syam, penduduk     Juzan ke Tihamah, penduduk Azad ke Amman. Mereka benar-benar kucar-kacir,     yang sampai sekarang hanya tinggal cerita dan riwayatnya saja. Beginilah     balasannya bagi sesiapa yang tidak pandai mesyukuri nikmat dan pemberian     Allah terhadap diri, negeri dan bangsanya. Allah tidak menyeksa manusia,     kalau manusia itu sendiri tidak ingkar terhadap Allah.
 | 
No comments:
Post a Comment