MAKLUMAT TAMBAHAN SEBAGAI RUJUKAN:
Menurut Dekan Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Adnan Mohamed Yusoff, di dalam al-Quran ubun-ubun disebut nashiyah. Para ulama dahulu mentafsirkan ayat di atas iaitu ubun ubun yang berdusta adalah orang yang menipu.
Katanya ayat itu ditafsirkan secara perbandingan. Dalam budaya dan penggunaan bahasa Arab, merujuk kepada anggota badan untuk dikiaskan dengan sifat seseorang adalah sesuatu yang lumrah. Contohnya, apabila hendak mengatakan seorang itu penipu dan pendusta mereka sifatkan pada anggota badan. Sama seperti di dalam bahasa Melayu yang disebut kiasan iaitu kaki bangku, panjang tangan dan telinga nipis.
"Dengan perkembangan sains yang semakin pantas, ulama mula mengkaji maksud ubun-ubun dengan lebih terperinci. Kajian yang dilakukan oleh Sheikh Zahlun Najar dan Abdul Majeed Alzendanee, menemukan fakta tentang ubun-ubun yang boleh dikaitkan dengan al-Quran. Asalnya kajian itu dilakukan oleh sarjana barat.
"Di dalam otak kita ada satu bahagian yang berfungsi untuk mengawal diri, membentuk tingkah laku dan peribadi seseorang. Pusat kawalan itu adalah ubun-ubun yang letaknya di belakang dahi atau dipanggil frontal lobe".
"Di bahagian itulah pusat kawalan segala arahan dikeluarkan, mengawal tingkah laku, berbohong, berbuat salah, kejujuran dan membuat keputusan. Anggota badan hanya menjadi tentera yang menjalankan arahan saja," jelasnya.
Dr. Adnan menambah lagi, hasil kajian yang menggunakan teknologi canggih telah berjaya mengesan unsur pembohongan. Dari imbasan yang dilakukan, bahagian ubun-ubun menghasilkan tenaga yang banyak.
Di katakan semasa berbohong, imbasan menunjukkan 14 kawasan otak akan menjadi aktif berbanding hanya tujuh kawasan saja jika bercakap benar. Menurut Daniel Langleben, seorang ahli psikiatri dan pakar saintis neuro dari Universiti Pennsylvania, ada tiga bahagian otak yang bergerak lebih aktif semasa berbohong iaitu anterior cingulate cortex, dorsal lateral prefrontal cortex dan parietal cortex. Dari pemerhatiannya, semasa menipu, aliran darah ke bahagian itu bertambah. Ini bermakna otak sedang bekerja kuat untuk berdusta.
Di sini dapat dilihat seolah-olah ada satu pusat komputer yang duduk di ubun-ubun yang telah diset kan dalam mode sentiasa berada pada kedudukan benar sepanjang masa. Bila kita bercakap benar, tidak ada sebarang perubahan tenaga yang dapat dikesan pada ubun-ubun. Sebaliknya bila bercakap bohong ada tenaga yang dikeluarkan dan ia boleh dikesan.
Penerangan yang boleh dibuat dari perubahan tenaga itu ialah begini, semasa menipu aliran darah akan bertambah di bahagian ubun-ubun dan banyak tenaga yang digunakan untuk mencari alasan apa hendak diberikan. Atas alasan itu mereka memutuskan, menipu bukanlah satu perkara yang datang tiba-tiba. Otak harus berfikir benar atau tidak kemudian barulah keputusan dibuat untuk menipu.
Misalnya apabila kita hendak menipu katakanlah, "langit itu hijau". Otak kita akan berfikir dahulu bahawa warna langit adalah biru tetapi kita hendak menafikannya. Otak akan bekerja keras untuk menafikannya sebelum mengeluarkan kata-kata bahawa langit adalah hijau.
Bagi Dr. Adnan, apa yang dinyatakan di dalam al-Quran memang ada hubungannya dengan penemuan saintifik. Sebagaimana yang Allah sebut ubun-ubun yang berdusta. Hasil penemuan mendapati, bahagian frontal lobe itulah yang paling banyak mengeluarkan tenaga apabila keputusan untuk menipu dibuat.
"Jika sebelum ini ulama mentafsirkan ayat itu secara perbandingan. Secara hakikinya dari sudut saintifik, ayat itu boleh didalami lagi maksudnya. Ubun ubun itulah yang berdusta, berbohong, tidak patuh, tidak taat pada perintah Allah kerana ia membuat keputusan," katanya.
Sumber: Al Islam Mac 2010 (m/s 56-57)
--------------------------
MH copy by : Laman Facebook : Cukuplah Allah Bagiku [ https://www.facebook.com/pages/Cukuplah-Allah-bagiku/247346025282187 ]
No comments:
Post a Comment