Tuesday, May 22, 2012

isu : " Siapa Irshad Manji ? "

Kebelakangan ini, pelajar-pelajar mahasiswa university di Jordan digemparkan dengan kes Irshad Manji ini.MH juga turut mendengar khabar angin yg perlbagai tentang beliau.sehingga hari ini MH masih tercari-cari siapakah beliau dan apakah motif beliau 'glamour' sehingga saat ini.Untuk kupasan sila baca catatan dibawah dari sumber ISMA.
______________

Kenapa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membatalkan penganjuran program yang menjemput Irshad Manji sebagai penceramah untuk berbicara mengenai Islam. Program tersebut dinamakan “Moral Courage: Creating Space for Islam and Democracy” dianjurkan oleh International Institute for Muslim Unity (IIMU) dengan kerjasama ZI Publications. Program ini pada asalnya dijadualkan berlangsung pada h
ari Isnin, 14 Mei 2012, jam 1.30 – 3.30 petang di Mini Auditorium, Level 2, UIAM Gombak.

Siapa Irshad Manji? Kenapa kita harus katakan tidak kepada Irshad Manji.

Irshad Manji, adalah seorang Muslim yang suka berfikir. Tetapi beliau berfikir tanpa panduan yang betul dan mentafsir Al-Quran mengikut pemikiran sendiri, salah mentafsirkan dan mempertikaikan kebenaran ayat-ayat Al-Quran itu.

Ini terbukti apabila beliau berpendapat, kebanyakan orang Islam hanya menganggap Al-Quran sebagai sebuah dokumen untuk dijadikan ikutan sahaja dan bukan untuk ditafsir. Ia seolah-olah memperkecil-kecilkan keupayaan berfikir yang terdapat pada diri seorang Muslim. Selain itu, beliau juga berpendapat, sebahagian besar daripada Muslim itu hanya mampu membunyikan ayat-ayat Al-Quran dan tidak lebih daripada itu. Beliau mendorong Muslim itu supaya berusaha untuk membuat tafsiran terhadap Al-Quran yang dibaca. Beliau juga mempertikaian sifat kemanusian Nabi Muhammad S.A.W. yang mungkin terdedah untuk melakukan kesilapan.

Beliau juga mengatakan bahawa, setiap agama mempunyai para pengikut yang mengikut-ikut sahaja tanpa soal selidik. Tetapi yang membezakan Islam daripada agama lain adalah budaya ikut-ikutan ini adalah aliran utama penganutnya.

Irshad Manji adalah seorang pengamal seks songsang yang datang daripada Amerika Utara. Irshad Manji dikenali sebagai pengkritik Islam radikal dan terjemahan ortodoks Al-Quran. Beliau juga melabelkan dirinya sebagai Muslim Refusenik (a person who refuse to cooperate with a law, system or comply because of a moral conviction).

Irshad Manji kini giat mempromosikan buku tulisan terbarunya, ‘Allah, Liberty and Love’. Buku ini telah diterbitkan dan mendapat sambutan di Indonesia. Malah beliau turut memuji Indonesia kerana mengamalkan pluralism dalam beragama, moderat dan sebuah negara yang boleh di jadikan model dalam beragama. Perkara ini dikatakan beliau ketika menghadiri diskusi di pejabat Aliansi Jurnalis Independen (AJI) Kalibata Timur, Jakarta Selatan, Sabtu (5/5/2012). Kehadiran Irshad Manji mendapat sambutan di Indonesia, tetapi terdapat juga golongan yang menentang.

Beliau juga telah banyak menulis buku-buku mengenai Islam antaranya ialah Risking Utopia: On the edge of a new democracy, The Trouble With Islam: A Wake-up Call For Honesty and Change; The Trouble with Islam Today, The Trouble with Islam Today: A Muslim’s Call for Reform in Her Faith, dan Allah, Liberty and Love: The Courage to Reconcile Faith and Freedom

“I`m not a moderate Muslim, I`m reformist”, Irshad in The Guardian.

Menurut buku tulisan beliau dalam terbitan Bahasa Melayu; Harapan untuk Islam Hari Ini, kepercayaan dalam diri terhadap maruah setiap insan membawanya menentang sistem perhambaan yang diamalkan di Afrika pada zaman kanak-kanaknya. Menurut beliau, kepercayaan ini dipupuk bukan disebabkan kepercayaannya terhadap Al-Quran tetapi tercetus disebabkan persekitaran demokratis di mana tempat dirinya dan keluarga menetap, Richmond iaitu tempat yang membolehkan seorang kanak-kanak perempuan Muslim mampu bergiat.

Bapanya telah menghantar beliau ke pusat perkhidmatan percuma di Gereja BaptisRose of Sharon. Di Gereja itu beliau digalakkan mengajukan pertanyaan dan beliau diyakini bahawa setiap pertanyaannya wajar di tanya. Soalan-soalan yang beliau ajukan pada usia tujuh tahun adalah soalan-soalan yang mudah. Yesus* (Nabi Isa) dari mana? Bila Yesus hidup? Apakah pekerjaannya? Siapa yang dinikahinya?

Pertanyaan-pertanyaan sedemikian tidak menimbulkan sebarang perasaan serba-salah terhadap mana-mana pihak, tetapi apa yang ingin beliau tekankan di sini ialah tindakan bertanya beliau – semakin banyak pertanyaan – bertambahlah senyuman daripada mereka yang mendengar.

Semasa berusia lapan tahun, beliau dianugerahkan Most Promising Christian of the Year. Beliau diberi hadiah Edisi 101 Bible Stories, diilustrasi dengan gambar-gambar yang menarik. Beliau sangat bersyukur kerana beliau membesar di sebuah dunia di mana Quran tidak semestinya menjadi buku pertama atau tunggal seseorang, seolah-olah ianya satu-satunya sumber kekayaan hidup. Pada ketika itu, dunia ketandusan buku kanak-kanak tentang Islam. Irshad Manji juga berpendapat, masyarakat bebas membenarkan proses penciptaan semula diri dan evolusi kepercayaan dan keagamaan.

Tidak lama selepas dianugerahkan Most Promising Christian, ayah beliau mengeluarkan beliau dari Gereja dan masuk ke sekolah beragama Islam. Beliau mendakwa disingkirkan dari sekolah agama kerana mengajukan terlalu banyak pertanyaan. Untuk 20 tahun seterusnya beliau mendalami sendiri Islam di perpustakaan dan melalui tutor Bahasa Arab.

Ketika pengajian di Madrasah Richmond, Irsyad Manji mempersoalkan kenapa madrasah yang didirikan oleh para pendatang yang berhijrah ke negara mengutamakan hak dan kebebasan ini, memilih autokrasi? Daripada usia beliau 9 hingga 14 tahun, beliau mengikuti pengajian agama di situ. Beliau berpendapat madrasah itu mengamalkan amalan keras Islam. Apa yang dimaksudkan amalan keras di sini?

Lelaki dan wanita memasuki masjid tersebut menggunakan pintu masuk berasingan dan dipisahkan oleh dinding yang memisahkan jemaah lelaki dan wanita. Terdapat sebuah pintu di dinding ini yang menghubungkan jemaah lelaki dan wanita. Pintu ini digunakan selepas selesai sembahyang, apabila kaum lelaki meminta lebih banyak makanan dari dapur komunal dengan mengedar pinggan mangkuk mereka, mengetuk-ngetuk dinding dengan kuat, dan tidak lama kemudian pinggan mangkuk yang sudah diisi makanan diedar kembali dari sebelah perempuan ke jemaah lelaki. Di masjid ini, kaum lelaki tidak perlu memandang kaum wanita dan kaum wanita pula tidak perlu dipandang. Beliau berpendapat situasi ini seolah-olah memperkecil-kecilkan peranan wanita.

Beliau juga mengalami pertembungan tamadun peribadi ketika mengikuti pengajian di madrasah itu Apa yang beliau pelajari di situ ialah jika seseorang itu rohaniah maka dia tidak perlu berfikir. Jika seseorang itu berfikir maka dia tidak spiritual.

Irsyad Manji menerima hakikat bahawa dunia ini terdapat dunia sekular dan non-sekular dan setiap daripada dunia ini bukanlah penyelesaiannya. Beliau juga berpendapat jika benarlah hujah ini, sudah pasti Gereja Baptis Rose of Sharon tidak akan memperdulikan soalan-soalan yang diajukan olehnya. Malah di situ, beliau mendapat pujian kerana mempunyai semangat ingin tahu. Di Burnett Junior High, sebuah sekolah sekular, soalan-soalan daripada Irsyad Manji mengejutkan naib-pengetua sekolah itu tetapi tidak ada sesiapa pun menghalang pertanyaannya. Di kedua-dua tempat tersebut, maruah dan martabat insan diutamakan.

Tidak pula demikian ceritanya di madrasah. Kebanyakan di antara pelajar di situ melihat madrasah bukan sebagai tempat menuntut ilmu, tetapi lebih sebagai tempat untuk bertemu jodoh. Perkara yang mendatangkan masalah bagi Irsyad Manji ialah, beliau tertarik dengan dunia pelbagai lapisan di sebalik madrasah ini. Beliau mahu dididik bukannya terindoktrinasi (proses yang dilakukan berdasarkan satu sistem untuk menanamkan kepercayaan tertentu).

Ketika pembelajaran di Madrasah, beliau di ajar, kanak-kanak perempuan harus melakukan perkara wajib seperti sembahyang lima kali sehari, pada usia lebih awal berbanding kanak-kanak lelaki yang hanya wajib melaksanakannya ketika berumur 13 tahun. Ini disebabkan kanak-kanak perempuan matang lebih awal berbanding kanak-kanak lelaki. Beliau juga mempersoalkan, jika begitu kenapa tidak membalas kematangan perempuan lebih awal dengan membolehkan mereka mengimamkan sembahyang? Yang mengecewakan beliau ialah ustaz itu menyuruhnya mencari jawapan itu dengan membaca Al-Qurun. Keterbatasan memahami Al-Quran pada usia sebegitu menyukarkan beliau untuk mencari jawapan terhadap persoalan itu.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Nabi Muhammad S.A.W memerintahkan bala tenteranya membunuh suku kaum Yahudi, sedangkan Al-Quran turun kepada baginda sebagai satu utusan keamanan. Walaupun telah membaca Quran terjemahan dalam Bahasa Inggeris, beliau tidak menjumpai sesuatu yang menyakinkan tentang kewujudan konspirasi Yahudi.

Beliau mencabar gurunya untuk membuktikan plot Yahudi seperti yang didakwanya. Gurunya memberi amaran kepada beliau: Sama ada kamu percaya atau keluar. Dan jika keluar, keluarlah dan jangan kembali lagi. Beliau membuka pintu madrasah sambil menjerit ” Jesus Christ!*”. Walaupun disingkirkan daripada Madrasah, beliau masih tidak menolak Islam. Ini kerana beliau seorang yang sangat mementingkan kepentingan aspek identiti. Beliau juga berpendapat kebanyakan mereka yang beragama Islam adalah Muslim bukan kerana kita memikirkan tentangnya, tetapi kita dilahirkan sebagai Muslim.

Masjid yang menempatkan Madrasah yang pernah dikunjungi itu adalah satu-satunya tempat yang masih mengiingatkan beliau tentang keIslaman beliau yang semakin rapuh. Kehadiran berterusan beliau ke Masjid membolehkan beliau mengingatkan diri tentang keislaman diri beliau tetapi dalam masa yang sama mengorbankan sebahagian identiti diri yang penting iaitu sebagai seorang pemikir.

Beliau tidak memahami kenapa perlu solat lima kali sehari semalam dan menganggapnya suatu penyerahan yang tidak masuk akal walaupun pada ketika itu beliau sentiasa melakukannya.

Pada ketika itu beliau mula sedar bahawa apa yang sepatutnya bermula sebagai pedoman hidup beriman berakhir menjadi satu ikutan semata-mata, dan ini membuat beliau menggantikan rutin sembahyang biasa dengan sesuatu yang lebih bermakna: perbualan-perbualan yang tidak terselindung dan tidak mempunyai struktur khas dengan Pencipta sepanjang hari. Setidak-tidaknya kata-kata perbualan itu adalah daripada beliau sendiri.

Beliau memutuskan samada harus terus menganuti Islam, beliau harus mencari ganjarannya demi dirinya sendiri dengan, menggantikan masjid dan kewarakan yang diprogramkan kepada pencarian personaliti Islam.

Beliau juga mengajukan mungkin penyimpangan daripada skrip asli Quran itu memurkai Tuhan. Atau sebenarnya ia memberi penghormatan wajar kepada kuasa-kuasa pencipta yang ada pada Tuhan apabila manusia itu menggunakan kebolehan mencipta yang ada pada dirinya. Tetapi tanpa mempertimbangkan alternatif, beredar begitu sahaja samalah dengan melarikan diri.

Soalan yang mengumbang ambingkan diri beliau iaitu “Di mana letaknya homoseksualiti dalam Islam?” Beliau mengakui yang beliau adalah lesbian. Ini kerana beliau membesar di dalam keluarga yang penuh dengan kedukaan di bawah seorang ayah yang membenci kebahagiaan. Beliau tidak akan sabotaj cinta yang saling dirasai dan memberi kebahagian diri sebagai seorang dewasa. Jadi persoalannya, bolehkah beliau menjadi seorang Muslim dan sekaligus seorang lesbian langsung tidak terlintas di kepala beliau. Ini kerana Muslim adalah agama, manakala lesbian itu adalah kebahagiaan.

Setiap kali beliau menghampiri pintu murtad, beliau berundur. Bukan kerana takut. Tetapi demi keadilan – buat dirinya. Satu persoalan perlu dipertimbangkan dengan lebih mendalam lagi: Jika Tuhan Yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa tidak ingin menjadikan diri beliau lesbian, kenapa Dia tidak mencipta orang lain untuk menggantikan tempat beliau?

Cabaran-cabaran tegang untuk ” menjelaskankan diri beliau” menjadi satu acara yang berlaku hampir setiap hari selepas 1998. Tahun itu, beliau menjadi pengacara QueerTelevision, satu siri TV dan Internet berkenaan kebudayaan gay dan lesbian. Rancangan itu adalah tentang orang, dan bukannya pornografi, akan tetapi ramai para Muslimin menyertai para fundamentalis Kristian menentang kehadiran beliau di skrin-skrin TV mereka.

Bagaimana pula Quran boleh mengecam homoseksualiti dan pada masa yang sama melaung-laungkan segala yang Allah “cipta adalah indah”. Quran yang sama menyatakan, “sekiranya Tuhanmu berkehendakan, Dia akan membuatkan kamu sebagai satu suku kaum, tetapi Dia telah mencipta kamu bersuku-suku.”

Bagaimana pengkritik-pengkritik beliau boleh menjelaskan berdasarkan kitab yang mereka taati bahawa Tuhan sengaja merekacipta dunia beraneka ragam? Persoalan mengenai homoseksualiti dan Islam menguji keimanan beliau. Tetapi memikirkannya, beliau berpendapat bahawa pertukaran sihat ini tidak mustahil jika kita kurang mementingkan pendirian kita berbanding pendirian Tuhan.

“Walaupun Islam seolah-olah tidak menerima homoseksualiti, segala-galanya mungkin dengan Tuhan Yang Maha Agung,” ulas seorang penasihat Pusat Kebudayaan Islam London ketika menyeru orang ramai supaya merendah diri apabila mengadili golongan gay dan lesbian.

Diharap, apabila kita mengenali siapa Irshad Manji, tiada lagi pihak-pihak yang berani mengalu-alukan kedatangan individu ini. Keprihatinan masyarakat untuk membantah kehadiran musuh Islam ke negara kita untuk mempromosikan seks songsang LGBT, menghina rasulullah S.A.W. serta memperlecehkan Al-Quran dan agama Islam itu sendiri.

Musuh Islam tidak akan berhenti mencari jalan untuk meracuni pemikiran umat Islam. Oleh itu, keprihatinan dan kesatuan umat Islam dalam menolak dakyah yang ingin disebarkan menjadi keutamaan.

Disediakan oleh,
Nazariyah Yahaya
Media Wanita ISMA
Sumber Rujukan; Blog Irshad Manji

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Selamat Berjuang